Tinta Hati Buat Bakal Imamku~

Assalamu'alaikum Warahmatullah .
Bismillahhirrohmanirrohiim . 
Kaifa Ahwalukum antum semua ?
Semoga sihat -sihat belaka .

Buatmu,
Bakal suamiku.

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan saya begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk diri kamu yang tidak pernah saya kenali. Saya sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diri saya kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang  khusus buat kamu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang saya jaga rapi selama ini semata -mata buat kamu. Itulah hati saya dan cinta saya, membuatkan saya tersedar dari lena saya yang panjang.

Saya telah dididik ummi semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diri saya kerana Allah telah menetapkannya untuk suami saya, dia itulah dirimu suatu hari nanti. Kata ummi, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kamu telah wujud dalam diri saya sejak dulu lagi. Sepanjang umur saya ini.

Saya menutup pintu hati saya daripada diisi oleh mana -mana lelaki kerana saya tidak mahu membelakangi kamu. Saya menghalang diri saya daripada mengenali mana -mana lelaki kerana saya tidak mahu mengenali lelaki lain selain kamu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah saya sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulan saya dengan yang bukan mahram untuk saya. Saya sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah saya menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik saya berjaga -jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan saya buat ‘expressionless face’ dan ‘cool’. Akan saya palingkan wajah saya daripada lelaki yang asyik merenung saya ataupun cuba menegur saya. Saya seboleh -bolehnya melarikan pandangan saya daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A :

“sebaik -baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”

Saya tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah saya hanya cantik di mata kamu. Apa guna saya menjadi idaman ramai lelaki sedangkan saya hanya boleh menjadi milik kamu seorang. Saya tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan saya merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah -olah saya ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Saya juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat saya berikan.

Bagaimana akan saya jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?

Adakah itu sumbangan saya kepada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau saya tidak ingin kamu memandang perempuan lain, saya dululah yang perlu menundukkan pandangan saya. Saya harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadi saya kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau saya inginkan lelaki yang baik menjadi suami saya, saya juga perlu menjadi perempuan yang baik.

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak dapat saya nafikan, sebagai remaja saya memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah saya mengingatkan diri saya bahawa saya perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata -mata untuk kamu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suami saya untuk menerima hati dan perasaan saya yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi -bahagikan.
Sya yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja muncul di dalam hidup saya. Saya secara keras menolak segala perasaan yang datang, pelbagai dalil saya kemukakan pada hati saya agar tidak terpaut padanya, tetapi hati saya tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya muncul dalam hidup saya. Dia juga seolah -olah berada sangat dekat dengan hidup saya. Saya berasa amat tidak tenteram, seolah -olah seluruh hidup saya yang ceria selama ini telah dirampas olehnya. Saya tertanya -tanya adakah saya berada di tebing kebinasaan. Saya beristighfar memohon keampunan-Nya. Saya juga berdoa agar Dia melindungi saya daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan saya banyak memikirkan kamu. Kamu dirasakan seolah -olah wujud bersama saya. Di mana sahaja saya berada, akal sedar saya membuat perhitungan dengan kamu.

Saya bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah saya ini untuk memilih berlian sedangkan saya hanya sebutir pasir yang wujud di mana -mana. Tetapi saya juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpin saya ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kamu memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuat saya terpikat. Andainya kamulah jodoh saya yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hati saya, juga hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kamu zahirkan perasaanmu itu kepada saya kerana kamu masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kamu lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Saya takut perlakuan kamu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaan saya tidak banyak, cukuplah kamu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.
Saya akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuangan kamu. Bahkan saya amat bersyukur pada Ilahi kiranya sayalah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tangan saya untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan saya kesat darah dari lukamu dengan tangan saya sendiri. Itulah impian saya. Saya pasti berendam airmata darah andainya kamu menyerahkan seluruh cintamu pada saya. Bukan itu yang saya impikan. Cukuplah kamu mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kamu akan mencintai saya kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Saya juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan umi saya dulu. Apa gunanya kamu menimbun harta untuk kemudahan saya sekiranya harta itu membuatkan kamu lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Saya tidak akan sekali -kali bahagia melihat kamu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna buat saya.

Dariku,
Bakal isterimu.

No comments: